Sabtu, 7 Mac 2009

Tanggungjawab Terhadap Haiwan dan Kisah Berkaitan Kucing

Entry kali ini atas Permintaan Cik Dila Comey. Sebab dia pun kata nak belajar untuk menyukai haiwan jinak terutamanya kucing. Bagusla macam tu. Jadi untuk sekian kalinya aku cerita & sedikit info untuk kita berkongsi bersama mengenai pahala membela haiwan jinak terutamanya kucing serta beberapa kisah yang kita boleh ambil iktibar dan tanggungjawab kita terhadap haiwan di muka bumi.

Menyayangi haiwan peliharaan sama ada Kucing, Anjing, Hamster, Kuda dan sebagainya merupakan satu tabiat yang sangat baik dan patut dipuji, kerana Islam menyuruh umatnya agar menyayangi semua makhluk Allah, termasuk insan, haiwan dan juga alam sekitar. Bagaimanapun, menyayangi sesuatu ada batasnya, jangan keterlaluan sehingga menyayangi haiwang seperti kucing melebihi kesayangan terhadap manusia.

Sering terjadi dalam sesetengah masyarakat di negara-negara maju, anjing dan kucing mendapat pembelaan yang lebih istimewa, dari segi makan minum, kebersihan, kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya, sedangkan pada masa yang sama, didapati beratus-ratus kanak-kanak yang tidak berdosa terkorban setiap hari, akibat kerakusan kuasa oleh pihak-pihak yang mendakwa kononnya mereka telah maju.

Dari aspek bertentangan pula, kita dapati ada manusia yang keras tabiatnya, suka menzalimi haiwan, sanggup membunuh binatang tanpa sebarang dosa, semata-mata kerana kegemaran hidupnya memburu dan membunuh, seolah-olah haiwan dicipta Allah untuk diburu dan dibunuh. Sikap ini juga pada hemat saya suatu keterlaluan, bahkan kegembiraan memburu binatang bukan suatu budaya yang terpuji pada zaman ini.

Tanggungjawab Terhadap Haiwan

Manusia hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, terutama yang di bawah kawalannya. Jika haiwan itu merupakan peliharaan anda, berilah kepadanya makan minum secukupnya, jagalah kepentingan hidupnya dengan penuh tanggungjawab. Jika haiwan itu mendatangkan bahaya kepada keselamatan manusia, maka hendaklah dibunuh sebelum ia membunuh manusia, tetapi hendaklah dengan tertib dan terhormat.

Al-imam al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Umar ra dari Nabi S.A.W bersabda, "Seorang wanita memasuki neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi." Dalam riwayat di dalam sahih al-Bukhari, "Seorang wanita diseksa kerana seekor kucing yang dia kurung sehingga mati. Dia masuk neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi."

Rasulullah telah melihat wanita yang mengikat kucing ini berada di neraka manakala beliau melihat syurga dan neraka ketika shalat gerhana. Di dalam Shahih al-Bukhari dari Asma binti Abu Bakar ra bahwa Rasulullah S.A.W bersabda, "Lalu neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, 'Ya Rabbi, aku bersama mereka?' Aku melihat seorang wanita. Aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Aku bertanya, 'Bagaimana ceritanya?' Mereka berkata, 'Dia menahannya sehingga mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan." Nafi' berkata, "Menurutku dia berkata, 'Mencari makan dari serangga bumi." Muslim meriwayatkan dari Jabir hadits Rasulullah S.A.W yang melihat seorang wanita yang mengikat kucing berada di Neraka. Di dalamnya terdapat keterangan bahawa wanita itu berasal dari Bani Israil. Di dalam riwayat lain disebutkan bahawa wanita itu berasal dari Himyar.

Ini adalah kisah wanita Himyariyah Israiliyah yang mengurung seekor kucing, tetapi dia tidak memberinya makan dan minum sehingga kucing itu mati kerana kelaparan dan kehausan. Ini menunjukkan kasarnya sifat wanita itu, betapa buruk akhlaknya, serta tiadanya belas kasih di dalam hatinya. Dia sengaja menyakiti. Jika di dalam hatinya terdapat belas kasihan, nescaya dia melepaskan kucing itu. Dia mengurungnya sepanjang siang dan malam. Kucing berasa haus dan lapar dan meminta dengan suara yang meminta bantuan dan pertolongan. Suara dengan ciri tersendiri yang dikenali oleh orang-orang yang mengenal suara. Akan tetapi, hati wanita ini telah membatu dan tidak terketuk oleh suara pilu kucing itu. Dia tidak menghiraukan harapan dan impiannya. Suara kucing itu semakin lemah, lalu seterusnya menghilang. Kucing itu mati. Ia mengadu kepada Tuhannya tentang kezhaliman manusia yang hatinya keras dan membatu.

Jika wanita ini ingin agar kucing ini tinggal di rumahnya, dia mungkin sahaja memberinya makan dan minum. Rasulullah S.A.W telah menyampaikan kepada kita bahwa kita meraih pahala dengan berbuat baik kepada binatang. Jika dia enggan memberinya makan, maka dia harus melepaskannya dan membiarkannya bebas di bumi Allah yang luas. Ia pasti mendapatkan makanan. Lebih-lebih lagi, Allah telah menyediakan rezeki bagi kucing tersebut daripada sisa-sisa makanan orang, begitu pula serangga-serangga yang ditangkapnya. Perbuatan ini telah memberi kecelakaan kepada wanita tersebut, sehingga dia masuk ke dalam neraka. Rasulullah Sallahu' 'Alaihi Wassalam melihat kucing itu memburu wanita yang menahannya di neraka. Kesan-kesan cakaran tergores di wajah dan tubuhnya. Beliau melihat itu ketika syurga dan neraka diperlihatkan kepadanya pada saat shalat gerhana.

Dalam sebuah hadis yang juga riwayat Bukhari bilangan 3208, rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu. Kita mungkin bertanya, bukankah anjing itu najis mughallazah (berat). Sentuhannya mewajibkan basuh tujuh kali menurut mazhab Syafie, salah satu daripadanya hendaklah dengan air tanah. Masalah yang berbangkit dalam hadis di atas bukan soal najis atau tidak najisnya anjing, tetapi simpati dan sikap perikemanusiaan terhadap haiwan itu. Islam adalah agama rahmah dan kasih sayang terhadap semua makhluk, sama ada haiwan atau manusia, muslim atau kafir.

Kucing dan anjing adalah haiwan jinak, berbuat baik kepadanya menyebabkan terhapusnya karat-karat dosa yang degil, lalu ditempatkan seseorang itu di syurga. Berlaku zalim terhadapnya pula suatu dosa yang memungkinkan seseorang dimasukkan ke neraka. Syurga dan neraka bukan perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan jawapan mahu atau tidak, tetapi suatu pembalasan berdasarkan dosa dan pahala.

Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.

Sesampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).

Gelaran bapa kucing tidak sedikitpun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.

Hadis-hadis ini dengan sendirinya menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Richard Martin dari Britain yang menubuhkan Persatuan Antikezaliman Terhadap Haiwan pada tahun 1824M, merupakan yang pertama di dunia membela haiwan. Dakwaan ini tidak tepat, kerana nabi Muhammad s.a.w. sejak lebih 1422 tahun yang lalu telah membela haiwan. Jangka masa itu jauh mendahului tokoh dari Britain yang diagungkan itu.

Menyayangi binatang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul (lengkap). Justeru, kita tidak terkejut jika ada kajian mengesahkan hasil-hasil positif daripada tabiat ini. Sebagai contoh, suatu kajian pernah dilakukan di Universiti Atlanta di Amerika Syarikat terhadap pesakit-pesakit darah tinggi, didapati keluarga yang memelihara kucing dan anjing lebih rendah tekanan darahnya berbanding keluarga yang tidak membela haiwan itu. Islam menerima pemeliharaan kucing, tetapi menolak anjing kerana najis.

Perlu juga disebutkan, dalam hadis-hadis sahih menyebutkan beberapa jenis haiwan yang harus dibunuh, kerana tabiatnya mengancam kehidupan manusia, seperti anjing gila, ular berbisa, tikus, gagak dan sebagainya. Binatang-binatang liar seperti harimau, gajah dan sebagainya juga harus dibunuh, jika ada tanda-tanda mereka mengancam nyawa manusia. Jangan tunggu sehingga ia lebih dahulu membaham manusia.

Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang dan Muliakan Kucing

Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu (2002).

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah. 

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukupcukup saja. Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya. 

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi. 

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap. Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu. Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas. 

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah. 

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan. 

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan tertongkat, beliau terjumpa seekorkucing yang kurus, comot, lemah dan lapar. Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah. Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni. 

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda. 

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu.. 

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia. Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu. 

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya. 

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Malah jika di dunia seperti di tanah suci segala amal kebajikan akan dibalas atau diberi ganjaran secara TUNAI pada ketika itu. Amin...

Kesimpulan & Pengajaran

My Abby

1. Memelihara haiwan adalah suatu amal soleh yang sangat besar pahalanya di sisi Allah, setiap makanan yang diberi dan setiap tanaman yang dimakan olehnya pasti ada pahalanya

2. Kasihanlah kepada haiwan, jangan menzaliminya, jangan khianati pergerakan dan kehidupannya. Haiwan juga makhluk Allah yang ingin hidup bersama-sama manusia di bumi ini.

3. Besarnya dosa orang-orang yang menyeksa binatang dan menyakitinya dengan memukul dan membunuh. Seperti dalam hadis tadi, Wanita itu masuk neraka kerana dia menjadi sebab kematian seekor kucing.

4. Boleh mengurung binatang seperti kucing, burung, dan sebagainya, jika diberi makan dan minum. Jika tidak mampu atau tidak mahu, maka hendakah melepaskannya dan membiarkannya pergi di bumi Allah yang luas untuk mencari rezekinya sendiri.

5. Di Akhirat, manusia diazab sesuai dengan perbuatannya di dunia. Ini berdasarkan hadis tadi, Wanita ini diserang oleh seekor kucing di Neraka dengan mencakari tubuhnya.

6. Ada kajian mengatakan, membela haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing dapat menghilangkan stress pada tahap optimum dan merendahkan paras darah tinggi.

p/s: Next time aku akan upload gambar lagi 2 ekor kucing aku... Oli dan Jebat dalam entry yang berlainan. Yang Abby tu ibu kepada Oli dan Jebat. Hari ini aku banyak bersama dengan kucing-kucing aku. Hilang Stress...

4 ulasan:

diLa berkata...

aku da bace wey..
waa..tenkiu. tenkiu..
ko memg bahek..;p

MoHFiR - Mohd Firdaus berkata...

Lepas ni jangan takut dengan kucing yerr... usap kepala kucing dgn penuh kasih sayang je dah dapat pahala tau ;)

diLa berkata...

haha..
takes tyme la beb..
dr kecik ku xpndai pegang..
tape2..bia ia lahir dgn ikhlas n sndrik..;)

MeGaMRedZ berkata...

Hello,

First of all thanks sebab berkongsi cerita, hadis² dan pengajaran ini, segala persoalan² yang tersemat dalam hati dan pemikiran ini serba sedikit telah terjawab.

Sesetengah cerita dalam blog ini sudah telah dibaca tapi Kisah Dari Tanah Suci belum pernah baca lagi.

Thanks again for posting, just a passing through visitor only :).